Description
TIDAK dapat dinafikan bahawa perkembangan sosio-politik Melayu tradisional menunjukkan dengan ketara nilai-nilai sosio-budaya yang tidak sama taraf di antara lapisan masyarakatnya dengan wujudnya golongan elit atau kelas atasan dan golongan orang kebanyakan atau kelas bawahan. Sejarah Melayu, misalnya merekodkan pénubuhan sistem masyarakat yang begitu berbeza, iaitu wujudnya susunan sosial yang terdiri daripada orang-orang bergelar dan orang-orang yang tidak bergelar¹. Pada zaman Kesultanan Melaka, golongan elit iaitu golongan atasan ataupun golongan bergelar terdiri daripada kerabat diraja dan orang-orang besarnya. Di kalangan kerabat diraja selain daripada sultan pemerintah sendiri, dua gelaran muncul sebagai pemimpin yang amat penting: Raja (Besar) Muda, pewaris takhta Melaka dan Sultan Muda yang dianggap lebih tinggi, kedudukannya daripada Raja Muda. Dalam Sejarah Melayu juga, jawatan dan gelaran Sultan Muda ini hanya dianugerahkan oleh pemerintah sekali sahaja iaitu penganuge rahannya oleh Sultan Mahmud Shah kepada Raja Alauddin Shah, putera baginda dengan Tun Fatimah dengan tujuan untuk melantik putera itu sebagai pewaris takhta menggantikan Raja Muzaffar Shah Raja Muda yang sepanjang waktu itu dianggap sebagai pewaris takhta ayahandanya. Dapat dirumuskan pada zaman Melaka jawatan Raja Muda merupakan jawatan pewaris takhta tradisional manakala jawatan Sultan Muda adalah suatu gelaran yang dianugerah sekali-sekala kepada seorang calon yang dipilih oleh raja pemerintah sebagai pengganti baginda setelah wujudnya perlantikan Raja Muda.
ISBN:9771394077008