Description
Apa yang menarik mengenai gerakan politikal Islam ini ialah kemajmukan dan juga sifatnya yang rencam. Tiada pihak mampu mengatakan bahawa di sana terdapat bentuk monolitik untuk apa yang dinamakan 'gerakan politikal Islam'. Fenomena tersebut dicorakkan oleh aktor-aktor dari pelbagai spektrum dan orientasi. Hanya sahaja pelbagai ribuan 'gerakan politikal Islam' itu boleh disatukan dengan beberapa ideologi teras yang mereka kongsi Penegakkan Negara Islam, perlaksanaan Syariat Islam, pembangunan masyarakat Islam bermula dari individu dan keluarga, penghayatan Islam yang syumul (komprehensif) serta tidak dikecilkan skop hanya kepada aspek spiritual-ritual semata-mata, pemasaran identiti Islam dan juga penglibatan politik demi menegakkan idealisme yang dipercayai itu. Walau bagaimanapun, penghayatan, perlaksanaan dan juga aplikasi terhadap ideologi teras itu mempunyai khilaf dan perbezaan yang jelas yang akhirnya menjadi tanda perbezaan dan juga pemisah antara satu gerakan dengan gerakan yang lain.
Hasil dari perbezaan gerakan-gerakan politikal Islam yang wujud, maka kita dapat melihat ada di kalangan mereka yang bersikap konservatif, ada yang bersikap pruitan, ada yang bersikap reformis, ada yang mengambil pendekatan spiritual, ada yang pro-demokrasi, ada yang pro-keganasan dan juga ektrimisme, ada yang bersikap radikal dari segi ide, tetapi menjauhi kekerasan, dan pelbagai lagi. Walau bagaimanapun, buku ini bukanlah ruang untuk memperkenalkan semua aktor-aktor dalam kerangka paradigma 'gerakan politikal Islam itu. Buku ini hanya membawa satu genre gerakan politikal Islam yang agak dominan, iaitu gerakan politikal Islam berorientasikan 'Harakah (aktivisme) yang dicorakkan ataupun berinspirasikan di atas pendekatan Ikhwanul Muslimun. Berdasarkan jalur pemikiran 'harakah' ini, buku ini menghimpunkan artikel-artikel berkaitan fenomena gelombang baru, ataupun wacana generasi baru dari jalur ini yang bersikap lebih realistik, berorientasikan konteks, terbuka dan juga lebih mesra-demokrasi. ISBN:9789671390788