Description
PERIBAHASA merupakan salah satu cabang sastera lama yang tak lapuk di hujan dan tak lekang di panas. Hampir setiap bangsa mempunyai bentuk-bentuk peribahasanya sendiri dan peribahasa sesuatu bangsa itu mencerminkan watak bangsa tersebut. Lebih tua sesuatu bangsa itu lebih banyak dan lebih klasik pulalah peribahasanya. Bukan kita sahaja yang tidak dapat membuat garis sejak bilakah peribahasa itu mula-mula digunakan, malah bangsa-bangsa lain juga tidak ada yang dapat membuat ketentuan tentang masa munculnya peribahasa itu di tengah-tengah masyarakat bangsanya. Walaupun demikian, satu perkara yang sudah pasti ialah bahawa peribahasa itu sama tuanya dengan bahasa sesuatu bangsa dan peribahasa mula-mula digunakan apabila bangsa manusia mulai mengenal peradaban, ketika organisasi kehidupan perlu diatur, batas antara yang baik dengan yang buruk perlu diadakan, untuk menjadi pendinding tatatertib pergaulan dan perhubungan hidup sesama manusia. Pada ketika itu segala tamsil yang dapat diambil dari alam dijadikan perbandingan, segala renungan yang lahir daripada peristiwa kehidupan diucapkan kembali berulang-ulang, sehingga berkesanlah tamsil dan renungan itu sebagai hukum hidup, sebagai daripada adat perpatih di Minangkabau dan di Negeri Sembilan, adat bersendi syarak, syarak bersendi adat yang sampai sekarang ini masih utuh dipergunakan.
Hanya yang agak aneh, beberapa peribahasa itu agak umum antara satu bangsa dengan bangsa lain. Pukul anjing tengok-tengok tuannya terdapat juga dalam peribahasa Cina yang terjemahannya dalam bahasa Inggeris berbunyi: in beating a dog, first find out who the owner is. Peribahasa Inggeris: when the cat's away, the mice will play dan cut your coat according to your cloth terdapat juga dalam peribahasa kita, dan mungkin dalam peribahasa-peribahasa bangsa lain juga.
Sepanjang yang kita ketahui, peribahasa itu berasal daripada tiga sumber. Sumber pertama ialah rakyat jelata yang mencipta peribahasa melalui pengalaman hidupnya, sumber kedua ialah orang-orang arif bijaksana, yang mengeluarkan ungkapan kata-kata hasil daripada renungannya, dan sumber ketiga ialah kitab suci.
ISBN:9789836208316