Description
Buku ini merupakan tajuk-tajuk khas dalam kimia organik, iaitu lanjutan daripada Kimia Organik: Kumpulan Berfungsi. Ia terdiri daripada lima tajuk khas, tiga daripadanya ialah biomolekul, iaitu karbohidrat, asid amino, peptida dan protein serta lipid, sebagai asas kepada biokimia. Dua lagi tajuk ialah aspek stereokimia dalam sebatian organik dan aspek spektroskopi inframerah bagi penentuan kumpulan berfungsi.
Bab 1 menerangkan pencirian kumpulan berfungsi secara kaedah fizik, dalam kes ini spektroskopi inframerah yang dilihat daripada getaran peregangan ikatan kovalen kumpulan berfungsi tertentu dalam molekul. Berbeza dengan kaedah kimia, kaedah inframerah tidak memusnahkan sampel sebatian. Bab 2 membincangkan stereokimia, iaitu bahagian yang penting dalam kimia organik. Keisomeran geometri dan optik serta kepentingannya dalam kehidupan seharian dinyatakan.
Bab 3 hingga 5 membincangkan secara terperinci bahan organik asas yang penting dalam kehidupan seharian, iaitu karbohidrat, asid amino, peptida dan protein serta lipid. Penyediaan, tindak balas kimia dan penghasilan sebatian terbitan daripada bahan asas ini juga dibincangkan. Semua bahan asas ini mengandungi lebih daripada satu kumpulan berfungsi yang memainkan peranan dalam tindak balas kimia.
Adalah diharapkan buku ini dapat membantu pelajar memahami konsep asas dalam tajuk-tajuk khas kimia organik.