Description
Dato Sri Shahidan Sabu ialah insan luar biasa. Dia berupaya dalam riwayat hidupnya merentas zaman. [Perkataan 'zaman' membawa erti masa, waktu, sesuai dengan keadaan semasa, masa dahulu sekarang dan akan datang. Dan masa merangkumi aspek-aspek hidup seperti pakaian, ilmu, teknologi, citarasa, hobi, ekonomi, karier dan keluarga]. Sepanjang hayatnya sehingga kini beliau telah menunjukkan keupayaan menangani berbagai dugaan hidup dan bergelut dengan liku-liku pengalaman berbentuk pahit-manis dengan penuh iltizam dan istiqamah.
Emaknya, walaupun tidak pernah bersekolah secara formal, telah menjadi cahaya pendorong hidupnya.
Sejak Shahidan kehilangan asuhan ayahnya kerana sudah menjadi anak yatim semasa dia masih kecil berumur 3 tahun lagi, dia telah mula mempelajari dan mengalami bagaimana menangani kesedihan, keperitan dan kesusahan hidup. Tanpa bantuan dan simpati daripada mana-mana saudara- maranya, dia telah menahan berbagai detik pahit-maung dan cabaran dalam proses mengharungi berbagai kesulitan dan dugaan ke arah kejayaan hidup pada kemudian hari.
Kariernya sebagai pegawai kerajaan di Jabatan Penjara dan kemudiannya di Jabatan Ukur & Pemetaan Malaysia adalah untuk menepati kehendak emaknya supaya dia berkhidmat dengan Kerajaan agar dapat menikmati gaji tetap dan kemudahan pencen apabila bersara nanti.
Penceburannya dalam bidang politik di peringkat akar-umbi telah memberikan peluang berkenalan dengan tokoh-tokoh dan pemimpin-pemimpin di peringkat nasional ke bawah. Jalinan perhubungan ini telah memberinya laluan dan peluang di masa hadapan apabila dia memilih bersara secara opsional untuk menjadi seorang pelobi profesional (professional lobbyist).