Description
Bumi Pax Amora sudah tidak aman lagi. Keadaan yang malang itu bermula dengan kewujudan Kerajaan Hatra. Kerajaan ini muncul dan hidup dibumi rampasan bahkan terus mahu merampas bumi bangsa lain lalu negara jiran terdekatnya menjadi mangsa. Oleh itu wilayah Kerajaan Cinta menjadi sempit dan sentiasa diancam oleh Kerajaan Hatra.
Kerajaan Hatra ternyata benar-benar mementingkan diri. Mereka memperluaskan negara haramnya di bumi rampasan bahkan sentiasa berusaha untuk memperluaskan lagi. Demi mencapai matlamat sanggup melakukan apa saja bentuk kezaliman. Menyerang, membunuh, penyembelihan beramai-ramai dan menakluk bumi bukan miliknya sudah menjadi kelaziman Kerajaan Hatra.
Kerajaan Cinta' tiada pilihan melainkan terus mempertahankan walaupun hingga ke titisan darah terakhir. Setakat ini sudah amat mendukacitakan kerana wilayah pentingnya di mana terletaknya "kompleks lama" sudah jatuh ke tangan Kerajaan Hatra. Kerajaan Cinta bukan saja berjuang mempertahankan wilayahnya dari diceroboh dan dirampas bahkan mempunyai tanggungjawab untuk merampas kembali wilayah Kangen yang dulunya aman biarpun dihuni oleh tiga penganut agama (Islam, Kristian dan Yahudi).
Jalan yang perlu ditempuh Kerajaan Cinta memang panjang. Kerajaan Hatra bukanlah hebat sangat melainkan di belakangnya terdapat kerajaan Acropolis. Kerajaan ini sentiasa memberi sokongan padu kepada Kerajaan Hatra. Malah ketika Kerajaan Hatra sedang menuju kekalahan di medan perang, kerajaan Acropolis akan bertindak sebagai pendamai. Lalu berlakulah perjanjian damai yang ditajanya, tetapi yang jelas Kerajaan Cinta dipermainkan oleh Kerajaan Acropolis yang berpura-pura berkecuali tetapi sebenarnya berpihak kepada Kerajaan Hatra
Dalam usaha mempertahankan diri itu Kerajaan Cinta sentiasa mengharapkan kemunculan insan penyelamat! Entah bagaimana Kerajaan Cinta menemui Zarif. Zarif diberi latihan perang ditingkatkan ilmu ke dalam dirinya, dilatih menghadapi tipu muslihat musuh dan berbagai lagi. Tiba
masanya biarpun usia terlalu muda, beberapa kejayaan berjaya ditempa oleh Zarif
Zarif tetap mahu berjuang menegakkan keadilan di bumi Pax Amora. Nia yang sudah lama
menunggu orang yang dicintainya itu berasa gusar jika Zarif berterusan mahu berpergian ke medan juang. Adakah Zarif berjaya menjadi benar-benar insan penyelamat? Bagaimanakah sudahnya Kerajaan Cinta dalam menghadapi musuh jahatnya iaitu Kerajaan Hatra?