Description
MAJLIS berjalan dengan lancar. Pengantin juga sudah ditepung tawar. Hanya menunggu untuk bergambar dan pulang.Elise turut berada di situ. Mulanya dia hendak pulang selepas makan. Tetapi Aunty Kaur menahannya dengan alasan mahu pulang bersama. Kebetulan wanita itu terjumpa kawan lamanya yang sudah lama terpisah tanpa khabar berita. Sudah lebih sejam mereka berbual, hari pun sudah semakin lewat. Mata Elise sudah kuyu menahan kantuk. Lama lagi ke Aunty Kaur ni nak bersembang?
Prang!!!
Mata Elise terus segar. Pantas dia menoleh ke arah bunyi kaca pecah itu. Kelihatan seorang lelaki sedang terbongkok-bongkok mengutip pinggan dan sudu. Makanan juga bersepah-sepah di atas lantai. Elise terus bangun untuk membantu lelaki itu.
'Meh saya tolong.' Elise mengutip serpihan kaca dan diletakkan di atas dulang.
'Ada ke aku mintak tolong kau?' Akbar mengerutkan dahinya melihat Elise yang dirasakannya menyibuk itu.
Elise terpanar memandang Akbar di hadapannya. Orang nak tolong bukan nak cakap terima kasih! Pijar wajahnya menahan malu. Nasib baik tiada orang berdekatan kecuali beberapa orang yang sedang bersembang sesama mereka. Dan serta-merta hati Elise terasa tidak suka kepada Akbar yang sedang merenungnya dengan tajam itu.
'Awak ni datang bulan ya?' sindir Elise.
Akbar berang. 'Lebih kau blah, jangan kacau aku!'
Dia pantas mengutip serpihan pinggan dan sisa makanan sebelum berdiri tegak. Elise juga turut berdiri tegak. Tingginya lelaki ini. Mata bertentang mata.
'Awak ingat saya nak mengurat awak ke? Saya cuma nak tolong aje,' beritahu Elise dengan suara yang direndahkan. Dia tidak puas hati.
Akbar yang baru hendak melangkah, terhenti seketika. Sambil tersenyum sinis dia berkata, 'bukan nak menolong cuma nak menyibuk. You are trying to flirt with me! Bukan aku tak perasan kau asyik tengok aku aje dari pagi tadi.'
Elise rasa tak percaya dengan kata-kata Akbar tadi. Apa yang dimaksudkan oleh Akbar adalah sewaktu dia 'ter'renung Akbar pada pagi tadi. Lidahnya serta-merta menjadi kelu. Bukan kerana kata-kata Akbar, tetapi senyuman sinis itu amat menarik perhatiannya. Lesung pipit di kiri dan kanan, bibir yang meleretkan senyum sinis dan....
'Nampak tak apa yang aku cakap tadi?' Wajah Akbar kembali serius sebelum dia melangkah dari situ. Menyampah melihat gadis yang tak punya rasa malu itu. Entah apa yang ada dalam fikiran gadis itu? Langkahnya mati apabila bibir mongel itu berbicara.
'Hei, sedara. Saya tenung awak bukan sebab awak tu menarik pun. You know what, you got something on your teeth. Here.' Elise menunjukkan dengan telunjuknya ke gigi hadapannya sendiri.
Akbar buat muka tak peduli dan berjalan pergi dari situ.
Elise melihat langkah Akbar yang semakin menjauh. 'Ceh! Apa yang aku buat ni? Kau memang bodoh! Lelaki perengus gila tu pun kau nak terpegun ke?'
Dia mengetuk-ngetuk kepalanya sendiri. Entah kenapa dia terasa senyum lelaki itu menarik perhatiannya. Dan memang ada sesuatu pun di gigi tersusun cantik milik lelaki itu. Nasib baik ada alasan, kalau tidak buat malu kaum aje!
'Laila! Kenapa tu? Jomlah, dah lewat ni'ยฆ' panggil Aunty Kaur setelah temannya pulang. Dia hairan melihat wajah tidak puas hati Elise.
'Jomlah.' Ajak Elise. Dia masih tidak berpuas hati dengan lelaki perengus itu. Dia juga yang salah kerana merenung lelaki itu. Macam perempuan gatal pulak!
ISBN:9789670874074