Description
Perkara yang paling pokok dalam menghasilkan pengurusan dan pentadbiran yang cemerlang masih lagi manusia. Hakikat ini nyata telah diterima oleh hampir setiap ahli yang menulis atau membincangkan mengenainya, sama ada dari Barat mahupun dari Timur. Pendekatan yang telah diterima untuk menentukan supaya manusia itu benar-benar berkesan dalam mengurus atau mentadbir, ialah melalui penghayatan nilai.
Adalah juga menjadi hakikat yang amat nyata sekali bahawa Islam yang telah membawa suatu pandangan hidup (world view) berdasarkan falsafah tauhid amat prihatin sekali tentang penghayatan nilai yang murni dan mulia bagi menghasilkan manusia yang benar- benar mampu mencapai kecemerlangan dalam semua aspek hidup termasuk pengurusan dan pentadbiran. Justeru itu, buku ini mem- bentangkan pandangan terkini tentang amalan pengurusan dan pentadbiran di Barat, Jepun dan tidak ketinggalan juga, di Malaysia.
Sesudah itu, prinsip dan pendekatan pengurusan dan pentadbiran Islam seperti yang terdapat dalam al-Quran dan Sunnah dikemukakan sebagai asas untuk dibandingkan dengan amalannya oleh para pemimpin Islam di dalam sejarah. Pendekatan ini adalah untuk membuktikan bahawa kecemerlangan pengurusan dan pentadbiran dalam sejarah Islam adalah semata-mata kerana para pimpinan Islam telah menghayati nilai-nilai yang dituntut oleh al-Quran dan Sunnah. Akhirnya, buku ini memuatkan beberapa kajian kes terhadap lima organisasi yang cemerlang dalam pengurusan mereka di negara ini sebagai bukti bahawa kecemerlangan ini telah dicapai kerana kegigihan mereka mengamalkan nilai-nilai yang selaras dengan ajaran Islam.