Description
PRAKATA
Naskhah ini merupakan penerbitan dalam bentuk buku, ucapan dan kertas kerja YBhg Tan Sri Yahaya Ahmad, Presiden DPMM, yang dibentangkan dalam Konvensyen Ulang Tahun Ke-50 UMNO. Jemputan yang dihulurkan kepada Presiden DPMM untuk membentangkan kertas kerja ekonomi dalam Konvensyen tersebut merupakan satu pengiktirafan besar terhadap kian pentingnya peranan DPMM sebagai tonggak perjuangan ekonomi Melayu amnya dan payung perjuangan usahawan Melayu khususnya.
Jika "Melangkah ke Hadapan" YAB Perdana Menteri merupakan satu wawasan yang mengandungi strategi dan program yang harus digerakkan oleh negara untuk mencapai status negara maju (dalam acuannya yang tersendiri) pada tahun 2020, dan "Visi Strategik" DPMM pula merupakan wahana menerusi mana strategi dan program khusus DPMM dan seluruh warganya untuk merealisasikan Wawasan 2020. "Perjuangan Yang Belum Selesai" (sebagai tema ucapan dan kertas kerja YBhg Tan Sri Yahaya Ahmad) merupakan seruan kepada semua bangsa Melayu dan langkah pelbagai hala dan dimensi yang perlu diambil demi menjamin kelangsungan dan kesinambungan ekonomi Melayu sebagai penyumbang kepada peradaban dalam alaf yang akan datang. Dalam konteks itu, peranan UMNO dilihat sebagai amat penting dan paling perlu.
Perlu ditekankan juga di sini bahawa penerbitan ini merupakan langkah DPMM memperkasakan dan memperkayakan pustakanya. Lebih penting, ia merupakan usaha meningkatkan dan memantapkan - menerusi pembacaan ilmu dan pengetahuan ahli-ahli DPMM khususnya dan usahawan Melayu sekalian amnya.
Akhir kata, penerbitan ini banyak merupakan hasil galakan YBhg Tan Sri Yahaya Ahmad yang inginkan ahli-ahli DPMM sebagai satu barisan usahawan yang terisi penuh di hati mereka dengan ilmu dan pengetahuan.
Selamat Membaca.